Masjid ini dikenali juga dengan nama masjid terapung yang sangat indah dan menawan hati sesiapa yang memandangnya. Ia terletak di Teluk Ibai, iaitu jaraknya kira-kira 4.5 kilometer dari Kuala Terengganu yang dibina di atas tanah tebus guna seluas lima ekar. Kedudukannya yang strategik di tepi Jalan Sultan Mahmud memudahkan pengunjung dan musafir singgah untuk menunaikan ibadah serta berehat. Pembinaan masjid ini dilaksanakan pada September 1991 Masihi dan siap pada pertengahan Februari 1994 Masihi, iaitu mengambil masa lebih kurang empat tahun lamanya.
BINAAN
Pereka bentuk masjid yang indah ini telah diilhamkan oleh salah seorang kerabat diraja Terengganu, Yang Mulia Raja Bahrain Shah, iaitu seorangn arkitek yang berkaliber. Masjid ini telah dibina oleh syarikat Sri Terukun Sdn. Bhd. di bawah pengendalian dan pemantauan Jabatan Kerja Raya Terengganu. Masjid ini bercirikan tamadun Islam terdahulu, berdasarkan kepada reka bentuk masjid yang terdapat di zaman Othmaniah. Masjid ini bukan sahaja indah dari segi reka bentuknya tetapi hiasan dalaman dan persekitarannya turut mampu memukau pandangan.