MASJID SULTAN SALAHUDIN ABDUL AZIZ SHAH

PERSIARAN MASJID SHAH ALAM SELANGOR
SELANGOR
1005067
03 55199988
03 55101317
30/11/-0001

SEJARAH

Masjid Negeri Selangor yang dikenali sebagai Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, merupakan salah satu lambang yang menyemarakkan keagungan agama Islam dan kedaulatan penganut Islam di Malaysia. Acara perasmiannya pada 11 Mac 1988, bersamaan dengan 23 Rejab 1408 Hijrah yang telah disempurnakan oleh Duli Yang Maha Mulia, Sultan Selangor Darul Ehsan telah menempa sejarah bukan sahaja kepada DYMM Sultan, tetapi juga kepada rakyat Selangor seluruhnya. Sebagai Ketua Agama, DYMM Sultan telah mengikut sunnah Nabi Muhammad s.a.w dengan mengilhamkan pembinaan masjid ini. Masjid Negeri Selangor, pada masa kini merupakan masjid yang terbesar di Asia Tenggara. Masjid ini terletak di bahagian utara tebing Tasik Shah Alam, di kawasan yang lebih tinggi dan sesuai dengan pembinaan masjid yang dianggap penting ini. Ia menjadi satu keperluan kepada penduduk Shah Alam yang sentiasa bertambah dari semasa ke semasa. Dianggarkan masjid ini dapat memuatkan kira-kira 24,000 jemaah dalam satu masa.

BINAAN

Kombinasi Rekabentuk Masjid yang menjadi mercu tanda kepada Bandaraya Shah Alam dan Negeri Selangor ini mempunyai gabungan reka bentuk Timur Tengah, India dan Melayu tradisional. Banyak keistimewaan yang boleh dilihat pada masjid ini terutama kubah dan menaranya. Kubah luar tingginya 300 kaki dari paras bumi. Garis pusatnya berukuran 170 kaki, merupakan kubah masjid yang agak besar. Ia diperbuat daripada kepingan aluminium berlipat dan mempunyai panel yang menarik berwarna biru, tahan karat dan dapat bertahan beratus tahun lamanya. Terdapat panel enamel bertulisan khat hasil kerja tangan penulis khat dari Mesir, Sheikh Abdel Moniem Ali El-Sharkawi menjadi hiasan lilitan badan kubah. Sistem bunyi terbaik telah dipasang di dalam masjid ini oleh pakar bunyi terkemuka Bolt Beranek dan Newman dari New York. Komponen dan Hiasan Dalaman Antara komponen yang menjadi tarikan pada masjid ini ialah mihrab dan mimbar. Mihrab masjid ini disaluti batu marmar antik yang diimport dari Turki dan dihiasi dengan ayat-ayat al-Quran yang ditulis dalam bentuk seni khat tradisi Islam. Mimbar masjid direka bentuk oleh pengukir tempatan mengikut corak yang terdapat pada masjid-masjid lama di Malaysia. Ia berukuran 7 kaki tinggi, pelantar setinggi 5 kaki persegi, berada di atas empat tiang dan berbumbung marmar putih Mahsuri setinggi 30 kaki. Di atas puncak mimbar ini diletakkan bintang dan bulan sabit berwarna emas. Empat buah lampu candeliar yang menghiasi ruang dalam masjid dan jam antik berusia enam ratus tahun telah disumbangkan oleh Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah. Dewan sembahyang utama berkeluasan 73,000 kaki persegi. Di atasnya ialah kubah besar yang disokong oleh lapan tiang berbentuk empat persegi dengan garis pusat 170 kaki dan tinggi 180 kaki. Setiap tiang tersebut mempunyai tangga dan dilengkapi dengan lif. Dewan sembahyang utama ini dihampar dengan permaidani yang diperbuat daripada benang bulu bercorak geometri berlatarkan warna biru senada warna masjid. Tiang dan dindingnya disaluti oleh marmar putih Mahsuri dari Langkawi.

KEMUDAHAN

Masjid ini juga mempunyai beberapa perkhidmatan lain seperti Kaunter Pungutan Zakat, Kemudahan Kelas Pengajian Umum, Kemudahan Perpustakaan, Kemudahan Khidmat Pengurusan Jenazah, Kemudahan Khidmat Nasihat serta Masalah Agama, kemudahan Bilik Seminar, Kedai Serta Gerai Makanan, cenderahati dan lain-lain. Kemudahan WIFI juga disediakan kepada pengunjung.

PETA