BUKIT KERINCHI C2, PANTAI HILL PARK, JALAN PANTAI PERMAI 7, OFF JALAN PANTAI DALAM
W.P. KUALA LUMPUR
1406014
03-22828912
03-22828912
06/12/1994
SEJARAH
Masjid Al-Ikhlasiah ini pada asalnya hanya sebuah surau kecil yang didirikan pada tahun 1819 oleh sekumpulan peneroka rakyat Indonesia dari Kerinchi, Sumatera sebagai tempat solat dan beribadat. Berdasarkan cerita orang tua, surau ini dibina dekat pintu gerbang; sempadan Kuala Lumpur-Selangor, kemudian ia dipindahkan ke kawasan ladang getah, tidak jauh dari tapak masjid sekarang bagi memberi laluan kepada pembinaan jalan. Selepas kerajaan mengambil tanah kawasan itu pada tahun 1915, surau ini sekali lagi dipindahkan ke tapak sekarang (masjid). Sebagaimana masa pantas berlalu meninggalkan kita, begitu juga dengan kehidupan manusia; berubah serta bertambah dari hari ke hari yang menuntut ahli jawatankuasa surau berbuat sesuatu agar surau yang sedia ada menjadi lebih luas dan selesa untuk menampung keperluan jemaah. Lantaran itu, pada tahun 1984 dengan hasil usaha Datok Empat iaitu Ketua Kampung di situ atau nama sebenarnya Hj. Akasah b. Ahad, bangunan surau itu telah diubahsuai dan diperbesarkan menjadi sebuah madrasah manakala setahun selepas itu, ia diberi tauliah oleh Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan sebagai tempat bersolat Jumaat. Pada 6hb Disember 1994, permohonan untuk pembinaan masjid di atas tapak Madrasah Al-Ikhlasiah telah diluluskan oleh Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan. Ekoran daripada itu, tanggal 27hb Ogos 2001 madrasah yang selama ini dimakmur dan dibangun sendiri oleh penduduk setempat akhirnya telah diroboh bagi mendirikan sebuah masjid dengan dibiayai sepenuhnya oleh pihak kerajaan.
BINAAN
Apa yang kita lihat hari ini, di atas tanah seluas satu ekar ini ialah tertegaknya sebuah masjid baru dan moden serta lengkap di mana kos pembinaanya telah menelan belanja sebanyak RM5 juta diharap mampu menarik kira-kira 2000 jemaah solat Jumaat pada satu masa disekitar Kerinchi dan Pantai Dalam yang mempunyai penduduk sekitar 15,000 orang. Apa yang diharapkan, Masjid Al-Ikhlasiah mampu menjadi nadi penggerak dan penghubung kepada penduduk setempat dalam meninggikan syiar Islam di samping menjadi tempat beribadat.