MASJID WILAYAH PERSEKUTUAN

JALAN TUANKU ABDUL HALIM(JALAN DUTA),50480 KUALA LUMPUR
W.P. KUALA LUMPUR
1406002
03-62018779
03-62018767
01/01/1970

SEJARAH

Pembinaan Masjid Wilayah ini direalisasikan pada 25 Syawal 1416 Hijri bersamaan 15 Mac 1996 Masihi dan siap dibina pada 30 Ogos 2000 Masihi. Upacara serah milik kepada pihak Jabatan Agama Islam Wilayah (JAWI) pada September 2000 Masihi. Masjid Wilayah Persekutuan terletak di sebuah kawasan berbukit Jalan Duta, berhampiran susur masuk ke pusat bandaraya Kuala Lumpur. Tapak binaannya berkeluasan kira-kira 13.4 hektar, iaitu di atas tapak bekas mahkamah dan pejabat kerajaan. Cadangan pembangunan Masjid Wilayah ini diilhamkan oleh Tun Dr. Mahathir ketika menjadi Perdana Menteri keempat. Ia merupakan projek Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (JAWI) dan diiktiraf berstatus Masjid Negeri.

BINAAN

Keindahan dan keunikan Masjid Wilayah ini terletak pada seni binanya yang berkonsepkan gaya zaman era Uthmaniyah di Turki pada abad ke-16. Walaupun seni bina begini dikatakan agak terbelakang, namun konsep tersebut amat popular pada kebanyakan bangunan masjid di seluruh dunia. Kubah Masjid Wilayah terdiri daripada sebuah kubah utama bersaiz besar, tiga kubah separa, dua kubah menara dan 16 kubah kecil yang berada di atas ruang solat utama serta anjung-anjung masjid. Kubah utamanya bergaris pusat kira-kira 30 meter dengan ketinggian 45 meter dari aras lantai dewan solat utama. Bahan untuk binaan kubah terdiri daripada jenis exposy glassfire dan berkemasan jubin mozek yang menggunakan teknik bit-map. Berwarna biru firuz, kubah ini dihiasi dengan hiasan reka bentuk lingkaran bunga dan dedaunan yang menjalar. Material yang digunakan pada hiasan dan tatahias luaran dan dalaman Masjid Wilayah ini berasaskan kayu dan batu. Ukiran-ukiran lebih bertumpu kepada komponen yang diperbuat daripada kayu seperti yang dapat dilihat pada pintu, tingkap dan sebahagian jeriji di dinding masjid. Pemidang di dewan solat wanita dan mimbar juga diperbuat daripada kayu yang telah diukir. Ukiran yang halus dan unik boleh dilihat pada dinding kemasan batuan simen, manakala silingnya berturap simen telah dibentuk dan diukir mengikut acuan. Motif kebanyakan ukiran kayu yang menghiasi masjid ini berbentuk awan larat yang diambil daripada bentuk-bentuk lima jenis bunga harum seperti bunga tikam seladang (bunga mas), cempaka, kenanga, tanjung, melur serta daun yang menghijau seperti paku pakis. Kayu-kayu hiasan terdiri daripada jenis kayu cengal yang diukir oleh tukang-tukang mahir tempatan yang didatangkan dari Terengganu dan Kelantan. Bahagian dalam masjid dihiasi dengan lampu-lampu yang mengeluarkan cahaya bergemerlapan. Lampu candelier yang digantung pada sebelah dalam kubah utama pula berbentuk moden dan eksklusif. Keindahannya terserlah apabila semua lampu itu dipasang terutama pada waktu malam. Ukiran batu pula dibuat pada pintu gerbang utama dan mihrab. Jenis batu yang digunakan terdiri daripada batu marmar Makarana. Pembuatan batu ini diselenggarakan di tiga pusat yang terletak di Agra, Jaipur dan Makarana di Rajestan, India. Batu-batu ini diukir oleh pengukir mahir di India dengan menggunakan konsep in lay daripada jenis batu permata dan dipasang di tapak binaan oleh pekerja-pekerja tempatan dan dikemaskinikan serta dihalusi oleh pekerja India. Penggunaan batu permata pelbagai jenis seperti batu lapisan lazuli, black onyx, malachite, red and golden jasper, mother of pearl dan tiger eye menjadikan Masjid Wilayah ini begitu istimewa. Tulisan khat jenis Thuluth turut memainkan peranan penting dan amat bermakna sebagai hiasan kaligrafi kepada Masjid Wilayah ini. Ia diterapkan di tempat-tempat tertentu supaya mudah dihayati dan difahami terutama di gerbang pintu masuk.

KEMUDAHAN

Masjid Wilayah ini dilengkapi dengan sekolah pendidikan Islam. Asrama, perpustakaan dan kemudahan bilik komputer turut disediakan. Selain kegiatan pembelajaran, aktiviti yang dilaksanakan ialah sambutan hari kebesaran Islam, ceramah, mesyuarat dan aktiviti kemasyarakatan yang disertai oleh semua golongan umat Islam. Masjid Wilayah ini menjadi antara tempat kunjungan wajib para pelancong dari dalam dan luar negara.

PETA