Masjid ini terletak di Kampung Sindang Baru daerah Samarahan. Pada asalnya masjid ini didirikan pada tahun 1976 Masihi dan telah dirasmikan pembukaannya pada 20 Rabiulakhir 1400 Hijri bersamaan 8 Mac 1980 Masihi oleh Yang Berhormat Dato’ Amar Haji Abdul Taib Mahmud yang ketika itu menjadi Menteri Pertahanan Malaysia. Namun Masjid ini telah diubah suai pada 3 Rejab 1422 Hijri bersamaan 21 September 2001 Masihi bagi memenuhi keperluan jemaah yang semakin bertambah. Ia telah disiapkan pada 24 Zulhijah 1423 Hijri bersamaan 26 Februari 2003 Masihi.
BINAAN
Masjid ini berkonsepkan reka bentuk masjid yang terdapat di Afrika Selatan. Bumbung masjid ini berbentuk serata segi empat dan terdapat dua buah kubah berbentuk dom menjadi mercu tanda. Salah sebuah kubah ini mempunyai tetunjuk langit yang dibentuk berlekuk-lekuk seperti yang terdapat di kebanyakan tetunjuk langit pada kubah yang berkonsep begini.
Serambi masjid ini dihiasi dengan gerbang berulang yang menjadi pemisah antara bahagian luar dan dalam masjid. Pintu masuk yang diperbuat daripada marmar bercorak dibina berlapis-lapis menampilkan reka bentuk pintu yang berlainan daripada kebiasaan.
Bagi keselesaan jemaah, masjid ini dilengkapi dengan sistem pendingin hawa di bahagian dewan solat utama. Oleh itu kesemua jendela dan pintu dilapisi dengan cermin gelap demi mengawal hawa panas daripada masuk ke ruang tersebut sewaktu pendingin hawa dipasang.
Warna putih dan hijau menjadi latar kepada masjid ini yang melambangkan kesucian dan sifat sejagat Islam itu sendiri. Ukiran berkonsepkan flora menghiasi dinding berhampiran dengan kubah sebelah dalam. Ia menambah keindahan dalam masjid.