LOT 738, BLOK 13, MENUAN LAND DISTRICT
96800 KAPIT
SARAWAK
1323003
30/11/-0001
SEJARAH
Pada akhir tahun 50-an, Kerajaan Koloni telah berbincang dengn orang Melayu di Kapit untuk membina penempatan baru bagi orang Melayu. Serentak dengan itulah, sebuah masjid telah didirikan di atas tapak kebun Hj.Mahmuddin iaitu di tebing sungai Rejang dan kini ia diletakkan di bawah Lembaga Amanah Khairat Daerah Kapit. Pada asalnya kawasan tersebut merupakan bukit, tetapi dengan berkat kerjasama orang kampung, ia telah dapat diratakan serta didirikan masjid. Pada awalnya, masjid tersebut hanya berkeluasan 36x36 kaki persegi dengan tiang dan atapnya daripada kayu belian. Masjid ini telah mengalami pelbagai perubahan dan penambahan sesuai dengan pertambahan penduduk serta perkembangan semasa. Dari semasa ke semasa ruang solat utama telah diperbesarkan, tandas yang baru telah dibina dan sebagainya.
BINAAN
Masjid ini mempunyai reka bentuk yang tersendiri dan unik. Ia menggabungkan konsep seni bina tempatan dan juga moden. Setiap penjuru sisi bangunan, kubah dan tiang masjid dilengkapi dengan ‘lampu limpah’ menjadikan masjid ini antara masjid yang tercantik dan terindah di Negeri Sarawak serta menjadi kebanggaan kepada masyarakat Islam di Bahagian Kapit.
Bahagian bumbung masjid menampilkan ciri-ciri bumbung bentuk piramid empat lapis seperti reka bentuk tempatan. Lapis yang keempat berbentuk landai jika dibandingkan ketiga-tiga bumbung yang lain. Empat buah kubah diletakkan di setiap penjuru pada bumbung yang keempat dan rekaan begini melambangkan ciri moden pada masjid ini. Dua menara yang dibina pada masjid melengkapkan rekaan masjid sekali gus menjadi mercu tanda.
KEMUDAHAN
Masjid ini terdiri daripada dua tingkat yang boleh memuatkan seramai 1,300 jemaah. Keindahan masjid ini lebih terserlah apabila menjelang malam kerana diterangi dengan cahaya lampu yang bergemerlapan.
Masjid ini dilengkapi dengan perpustakaan, bahagian pentadbiran dan pengurusan, dan bilik mesyuarat. Selain itu, infrastruktur seperti laluan jalan yang baik, tempat letak kereta dan kemudahan bagi orang kurang upaya turut disediakan. Ini mencerminkan bahawa masjid ini selain daripada indah dan unik ia juga mesra pengguna dengan menyediakan banyak kemudahan kepada jemaah di situ.