Masjid An-Nur terletak di daerah Tuaran ini telah dirasmikan pada 21 Jamadilakhir 1420 Hijri bersamaan 01 April 1999 Masihi yang disempurnakan oleh Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sabah ketika itu, iaitu Tun Datuk Panglima Haji Sakaran bin Dandai. Masjid ini berada di sebuah perkampungan yang dihuni oleh kaum Bajau Sabah.
BINAAN
Pada dasarnya reka bentuk Masjid An-Nur hampir menyamai konsep Masjid Negara. Bahagian dasar bumbung masjid ini dibina berasaskan geometri berbentuk segi tiga. Kubah masjid yang menjadi puncak pula dibina seumpama payung yang sedang dikembangkan seperti reka bentuk bumbung Masjid Negara. Antara komponen lain yang menarik ialah menara yang dibina mengapit keempat-empat penjuru masjid. Setiap menara mempunyai puncak segi tiga yang meruncing dihiasi dengan bulan sabit dan bintang sebagai perlambangan Islam.
Gerbang berulang yang dibuat secara berselang seli antara satu sama lain menampilkan identiti Masjid An-Nur yang tersendiri dan unik. Ia juga menjadi kerangka luar dan penyokong kepada cermin kaca telus yang dipasang di sekeliling bangunan bahagian bawah dan atas masjid.
Sebahagian daripada gerbang-gerbang di tingkat masjid ini hanya ditutupi dengan bidai-bidai kayu. Bidai-bidai ini akan dilabuhkan pada waktu malam dan ia juga digunakan untuk menampan cahaya matahari dan air hujan daripada memasuki bahagian serambi.
KEMUDAHAN
Masjid ini dilengkapi dengan dewan kuliah, dewan solat utama, bahagian solat wanita, tempat berwuduk dan beberapa kemudahan asas yang lain bagi kegunaan jemaah masjid.