Masjid ini terletak di Kampung Alor Lik, Mukim Hulu Nerus 2, Daerah Setiu. Lokasinya terletak di tiga laluan masuk utama iaitu laluan pertama melalui Kampung Sungai Tong ke Kampung Bukit, Kampung Sungai Las dan menuju ke Kampung Bukit Munduk sebelum masuk ke Kampung Alor Lik. Laluan masuk kedua pula mulai dari Manir, Daerah Kuala Terengganu ke Kampung Kuala Telemong Daerah Hulu Terengganu terus menuju ke Kampung Bukit Aman, Setiu. Manakala laluan ketiga pula melalui dari Kampung Tengkawang, Daerah Hulu Terengganu menuju ke Kampung Hulu Sat terus ke Kampung Alor Lik. Masjid ini sering menjadi tumpuan utama penduduk sekitarnya dalam menjalankan segala aktiviti ibadah dan kemasyarakatan.
Menurut catatan sejarah, bangunan asal Masjid Kampung Alor Lik, Setiu dibina pada tahun 1960-an di atas tanah milik persendirian. Bangunan ini diperbuat daripada binaan kayu hasil sumbangan gotong-royong dan derma daripada penduduk setempat. Disebabkan oleh keadaan masjid yang semakin uzur dan pertambahan ahli qariah yang semakin ramai dalam tahun 2008, kerajaan negeri telah bersetuju meluluskan peruntukan kewangan sebanyak RM 1.8 juta (RM 1, 863, 939.39) untuk membina sebuah bangunan baru di atas tapak yang baru berikutan tapak lama yang sedia ada terlalu sempit untuk dibangunkan. Masjid baru dicadangkan pembinaannya ditapak baru iaitu ditanah Lot 16458 yang berkeluasan 13, 175 meter persegi. Masjid baru ini terletak kira-kira 1 kilometer dari masjid lama.Kerja-kerja pembinaan masjid ini dimulakan dalam tahun 2008 dan siap sepenuhnya pada 15 Januari 2010.
Penyerahan masjid ini telah dibuat oleh pihak JKR kepada Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu pada 13 Mei 2010. Masjid ini mampu menampung jumlah kapasiti jemaah seramai 500 orang. Pengisytiharan kebenaran menggunapakai dan mendirikan Jumaat dibangunan baru Masjid Al-Firdaus Kampung Alor Lik telah dibuat pada hari Khamis 27 Jamadil Akhir 1432H bersamaan 10 Jun 2010. Sembahyang Jumaat pertama dimasjid ini telah didirikan pada 11 Jun 2010 bersamaan 28 Jamadil Akhir 1431H. Dengan wujudnya bangunan baru yang tersergam ini diharap dapat memberi keselesaan kepada rakyat khususnya ahli qaryah kampung ini untuk beribadah dan menjalankan aktiviti keagamaan