Masjid baru Kampung Kuala Bekah didirikan di atas lot 1142, 1149, 1150 dan 1157 dengan keluasan keseluruhan 1.75 ekar. Bangunan baru ini adalah bangunan kekal menggantikan bangunan lama yang dibina daripada kayu hasil daripada khairat dan derma orang ramai. Keperluan kepada masjid baru disebabkan masjid lama sudah tidak dapat menampung bilangan jemaah. Tanah tapak masjid baru adalah daripada proses pengambilan tanah oleh kerajaan negeri dan pembinaannya bermula pada tahun 2007. Masjid baru ini telah diserahkan oleh Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu dan dibuka kepada umum bermula pada bulan April 2009.