Bangunan Masjid Jamek Berkembar Haji Mat Saman ini memang bersejarah kerana tua dan klasiknya. Masjid ini telah dibina sejak 1929 sesuai dengan lokasinya yang berada di pinggir Sungai Ramal, iaitu pengkalan tempat persinggahan melalui jalan sungai. Sebagai tempat pertemuan perjalanan dan perniagaan, maka inisiatif diambil tokoh pemimpin semasa itu, iaitu Haji Mat Saman mendirikan masjid di tapak yang ada sekarang untuk kegunaan berjamaah dan berjumaat penduduk Sungai Ramal Luar, iaitu sebelum jalan secara sempurna dari Kajang ke Serdang dibina. Dikatakan juga masjid ini dibina di tepi sungai Ramal bagi memudahkan ahli jamaah mengambil wuduk dari Sungai Ramal tersebut. Sudah tentulah dalam usia lebih 80 tahun masjid ini telah mengalami perubahan dan penambahan sehingga kepada bentuk sebagaimana kini
BINAAN
Masjid yang mempunyai kubah dan menara kuning ini dibina berkonsepkan moden. Pada bahagian hadapan, mihrabnya dibuat dari batu marmar dengan ukiran dan tulisan khas yang cukup menarik. Ia mempunyai dua ruang solat,lama dan baru bagi menampung Jemaah yang semakin bertambah. Keseluruhannya, senibina masjid ini adalah moden dan berasaskan Timur Tengah.Binaannya adalah antara yang tertua di Hulu Langat dan Selangor.
KEMUDAHAN
Pelbagai kemudahan yang disediakan di masjid ini seperti van jenazah,bilik pengurusan jenazah serta koleksi kitab dan bahan bacaan. Masjid ini mempunyai talian internet untuk kegunaan stafnya dan juga mempunyai bilik mesyuarat dan tempat jamuan.