Masjid ini telah dibina pada tahun 1812 Masihi. Bukti tarikh yang terdapat pada batu cerucuk masih disimpan oleh Haji Sulaiman, cucu kepada Dato’ Dagang.
Titik tolak pembinaan Masjid Dato’ Dagang ini berdasarkan kepada pemberian sebidang tanah oleh Sultan Selangor kepada Dato’ Dagang kerana jasa-jasa beliau membantu Tengku Kudin mengalahkan Raja Abdullah.
Menurut sejarahnya nama asal Dato’ Dagang ialah Nanggok. Beliau berasal dari Batu Bara, Inderapura Sumatera, Indonesia. Setelah menunaikan haji, beliau bergelar Haji Mohamad Tahir bin Haji Mahmood.
BINAAN
Masjid ini telah dibina secara bergotong royong antara Dato’ Dagang dengan orang-orang kampung. Reka bentuk masjid ini berkonsepkan seni bina tempatan dan menyerupai konsep seni bina Masjid Leban Chondong, Masjid Kampung Laut dan lain-lain yang menggunakan konsep bumbung berlapis tanpa dihiasi sebarang kubah.
Antara masjid di Selangor yang hampir menyerupai masjid ini ialah Masjid Jamek Al-Syariff yang terletak di Taman Sri Telok Datuk, Kuala Langat yang didirikan pada 15 Safar 1413 bersamaan 14 Ogos 1992 Masihi.