MASJID JAMEK PADANG LALANG

34400 SIMPANG EMPAT SEMANGGOL, PERAK.
PERAK
0807083
20/08/1940

SEJARAH

Nama Masjid Padang Lalang diambil sempena nama kampung tempat masjid ini dibina iaitu Kampung Padang Lalang, Semanggol, Perak. Menurut cerita orang-orang lama yang menetap di Kampung Padang Lalang, Masjid Padang Lalang ini mula dibina pada pertengahan tahun 1940an selepas tamatnya perang Jepun. Masjid Padang Lalang ini pada awalnya dibina di atas tapak tanah di hujung kampung berhampiran Sungai Kurau bersebelahan dengan tanah perkuburan Islam Kampung Padang Lalang yang ada sekarang ini. Pada awal pembinaan jumlah penduduk di Kampung ini tidak ramai dan kedudukan rumah juga agak jauh antara satu sama lain. Walaubagaimanapun, atas semangat kerjasama dan ukhwah yang kuat terutama dalam bab ibadah ini maka penduduk kampung pada ketika itu sepakat untuk mendirikan sebuah masjid secara bergotong royong. Sungai Kurau yang terletak bersebelahan dengan tapak masjid lama itu merupakan jalan pengangkutan utama penduduk Kg. pada masa itu. Penduduk kampung juga mencari pokok-pokok kayu-kayu hutan yang baik dan bermutu untuk dijadikan bahan utama binaan masjid. Pembinaan masjid diterajui oleh tukang-tukang kayu tempatan dan dibantu oleh majoriti penduduk kampung. Masjid lama tersebut siap dibina dalam tempoh yang agak lama iaitu hampir 8 bulan kerana pembinaan dibuat dengan menggunakan peralatan pertukangan tradisi. Setelah agak lama digunakan, difahamkan kawasan masjid ini selalu berlaku gangguan mistik yang agak kuat. Tapak masjid juga agak sempit dan terhad dikelilingi terlalu hampir oleh tanah perkuburan, sungai dan tanah sawah penduduk setempat. Justeru itu, pada tahun 1959, penduduk kampung bersetuju untuk memindahkan masjid ini secara gotong royong ke tapak baru masjid yang ada sekarang ini. Jarak antara tapak masjid lama itu dengan tapak yang ada sekarang ini kira-kira 350 meter. Struktur bangunan masjid lama dibuka dan dipindahkan secara gotong royong ke tapak baru. Penduduk kampung mengangkut dan membawa tanah dari kawasan rumah masing-masing dengan niat wakaf untuk menambak tapak tanah masjid yang bakal didirikan semula. Tanah-tanah yang terdapat di kawasan sekitar adalah jenis tanah liat dan berwarna hitam. Pembinaan semula memakan masa agak singkat kerana kerja-kerja utama ketika itu adalah mengangkat dan memasang semula struktur bangunan sahaja.

BINAAN

Bangunan asal Masjid Padang Lalang adalah 100% dibina dari bahan binaan kayu dan papan. Bumbung asal adalah bumbung zink. Setelah dipindahkan ke tapak masjid baru masjid ini telah menagalami beberapa kali pembesaran dan perubahan struktur. Walaubagaimanapun, bentuk struktur asas yang asal masih dikekalkan. Sehingga kini ruang solat utama dan bentuk bumbung masih mengekalkan konsep bangunan lama. Tiang-tiang masjid dan struktur bumbung masih kekal seperti semasa awal pemindahan. Dinding bangunan masjid sekarang ini telah ditukar kepada dinding batu bata dan struktur tingkap pula adalah dari bahan aluminium dan kaca. Secara keseluruhannya konsep asal bangunan masih terpelihara dan masih mengekalkan konsep ciri-ciri senibina bangunan melayu Islam.

KEMUDAHAN

-tempat wuduk lelaki -tempat wuduk perempuan -telekung -sejadah -ruang makan -ruang memasak -parkir -tandas awam -tandas orang kurang upaya

PETA





68217


Piagam Pelanggan | Polisi | Dasar Keselamatan