Pada tahun 1913 sebuah masjid didirikan di Batu 15, Jalan Bidor, Teluk Intan, dengan menggunakan bahan-bahan daripada masjid lama yang terdapat di Kg.Batak Tabit. Usaha membawa bahan-bahan lama tersebut dilakukan oleh Allahyarham Tuan Hj Idris iaitu bapa kepada Tuan Hj Hamdan (tuan guru agama dari Kg.bahagia). Beliau telah berusaha mengangkut papan-papan dan kayu-kayu serta pelbagai bahan dengan menggunakan kereta lembu kerana pada masa itu jalan raya tar belum wujud lagi, cuma jalan tanah merah sahaja.
Tanah tapak masjid Kg.Ayer Hitam ini telah diwakafkan kepada masjid oleh Tuan Imam Abdul Rahim, bekas ketua Kg.Ayer Hitam.
Apabila berlaku perpindahan iaitu apabila wujudnya Kg.Baru Ayer Hitam (dalam tahun 1956) Kerajaan British pada masa itu telah mendirikan sebuah masjid di atas tapak baru pula iaitu terletak di Jalan Chui Chak (tapak yang ada sekarang) dengan harga lebih kurang RM14,000 ketika itu. Bangunan masjid lama di Batu 15 itu masih kekal. Memandangkan masjid baru yang didirikan itu terlalu kecil, maka penduduk kampung telah menagmbil keputusan bergotong royong membuka bangunan masjid lama itu dan menyambung untuk membesarkan bangunan masjid di Jalan Chui Chak, iaitu pada tahun 1969. Masjid ini boleh memuatkan kira-kira 100 orang jemaah. Walaubagaimanapun, kian hari penduduk kian bertambah, maka keluasan masjid ini menimbulkan masalah kepada penduduk di sini.
Pada tahun 1978, jawatankuasa pembinaan masjid baru telah ditubuhkan untuk mengkaji dan mencari jalan untuk mengatasi masalah tersebut. Akhirnya, jawatankuasa berpendapat sebuah masjid baru akan didirikan di atas tapak tanah masjid yang ada di Jalan Chui Chak dengan merobohkan bangunan masjid lama. Bangunan masjid baru ini menelan belanja sebanyak RM180,000 (termasuk peruntukan daripada kerajaan dan orang ramai). Masjid ini boleh memuatkan jemaah sehingga lebih 500 orang.
Jawatankuasa pembinaan masjid baru telah diketuai oleh Allahyarham Encik Hassan B Hj Mohd Said(mantan ketua Kg.Ayer Hitam dari 1978-1982) dan Allahyarham Tuan Hj Abu Bakar B Hj Yeop Majelih,pp.ppt (mantan ketua kampung dari tahun 1982-1990)