Orang-orang India dari Bengal mula berhijrah ke Pulau Pinang pada akhir abad ke-18 sebagai sepoi atau tahanan kepada Syarikat Hindia Timur. Francis Light telah memulakan kemasukan petani Bengal dari Calcutta untuk menggalakkan kemajuan pertanian di Pulau Pinang. Istilah ‘Bengali’ bukan sahaja merujuk kepada pendatang daripada Bengal tetapi telah digelar atau merujuk kepada pendatang lain yang turut berasal dari India Utara.
Mereka ini yang kebanyakannya menganut agama Islam telah mendirikan masjid untuk berkumpul dan mengerjakan ibadah. Masjid ini yang kemudiannya terkenal dengan nama Masjid Benggali dipercayai diasaskan pada tahun 1803 Masihi di atas tapak yang diberikan oleh Syarikat Hindia Timur semasa George Leith menjadi Leftenan Gabenor Pulau Pinang. Pada ketika itu bahasa utama yang digunakan dalam aktiviti di masjid ini ialah Bahasa Urdu. Kini ia masih berfungsi sebagai sebuah pusat ibadah dan bahasa yang digunakan ialah Bahasa Melayu dan Tamil.