Selain nama Masjid Leban Chondong, ia turut dikenali dengan nama Masjid Al-Iman. Masjid ini terletak kira-kira 12 km dari Bandar Rompin. Masjid ini didirikan pada tahun 1984 Masihi dengan pembiayaannya ditanggung oleh Kerajaan Negeri Pahang di bawah program Amanah Saham Pahang Berhad (ASPA).
Masjid ini telah dirasmikan oleh Tengku Mahkota Pahang. Masjid-masjid baru di Pahang yang terletak di bawah program ASPA dibina berkonsepkan tempatan, iaitu diperbuat daripada kayu dan bercirikan bumbung berbentuk piramid serta tiada pembaziran ruang atau hiasan berlebihan.
BINAAN
Masjid ini berkonsepkan reka bentuk Melayu tradisi. Ia mempunyai reka bentuk bumbung piramid atau dikenali bumbung tangkup tiga lapis. Masjid ini tidak mempunyai mercu tanda tetapi di puncak bumbungnya terdapat tetunjuk langit yang dihiasi dengan bintang dan bulan sabit sebagai lambang.
Struktur utama binaannya daripada kayu. Terdapat juga penggunaan batu dan simen pada tangga. Struktur keseluruhan binaan masjid ini diperbuat daripada kayu, manakala tangga ke serambi masjid dibuat daripada batu. Kolah yang dibina berbumbung diletakkan di bahagian luar masjid bagi memudahkan para jemaah berwuduk.