Tuan Guru Haji Abdul Samad bin Haji Abdullah bin Haji Hashim dilahirkan pada tahun 1207 Hijri bersamaan 1792 Masihi, yang dikenali dengan panggilan Tok Pulai Chondong ialah orang yang bertanggungjawab membuka Kampung Bilal Talib dan membina Masjid Pulai Chondong. Menurut sejarahnya, ketika membuka kampung tersebut terdapat sebuah pokok pulai yang besar dan condong di pinggir kampung itu. Dari situ, perkampungan, masjid dan Haji Abdul Samad diberi gelaran Tok Pulai Chondong sempena dengan pokok ini.
Masjid tersebut dikatakan pernah terbakar dua kali pada 1820 dan 1856 sebelum Tok Pulai Chondong mengambil keputusan berpindah ke Kampung Surau tidak jauh dari penempatan awalnya itu. Pada tahun 1856 Masihi pula, dengan kerjasama penduduk beliau telah berusaha mendirikan sebuah masjid baru yang terletak di tepi Sungai Pulai Chondong dan kekal hingga kini,
yang juga dikenali sebagai Masjid Tok Pulai Chondong yang kemudiannya dilengkapi dengan mimbar, geduk dan menara kayu.
Menara kayu yang masih kukuh dan kini menjadi tempat letak pembesar suara. Binaan masjid yang ada bukanlah binaan asal kerana ia sudah dirombak dan pengubahsuaian telah dilakukan beberapa kali. Para pengunjung dan peminat sejarah masih boleh melihat geduk dan mimbar lama yang masih disimpan di dalam masjid.
Menurut sejarahnya, Tuan Guru Abdul Samad dikatakan mencari dan memilih sendiri kayu balak dari kawasan hutan Bukit Cina kira-kira 10 kilometer dari lokasi masjid untuk membina menara kayu dan kayu itu ditarik menggunakan tali dari hutan secara bergotong-royong bersama penduduk kampung.
Menara itu dibina menggunakan sebatang tiang tanpa sebarang sambungan daripada umbi yang ditanam 8.3 meter dalam tanah hinggalah ke puncak menara. Menurut perkiraan masyarakat tempatan, panjang tiang kayu cengal batu yang digunakan untuk pembinaan menara ini adalah 25.6 meter dan ia diangkat secara bergotong-royong oleh penduduk kampung sewaktu membina dan menegakkan menara masjid berkenaan pada masa itu
BINAAN
Masjid ini dilengkapi dengan mimbar, gendang dan sebuah menara. Menaranya dianggap istimewa dan menjadi mercu tanda di kawasan sekitarnya. Reka bentuk menara ini adalah daripada ilham Tok Pulai Chondong sendiri.
Menara masjid ini berketinggian kira-kira 57 kaki. Ia diperbuat daripada kayu cengal batu berbentuk lapan segi sekata dan ukur lilitnya berukuran kira-kira 12 kaki 6 inci. Di tengah-tengah menara ini didirikan sebatang tiang layang tidak bersambung yang menjadi paksi. Paksi ini berbentuk lapan segi sekata dan ditanam di dalam tanah sedalam 28 kaki.
Oleh kerana pada ketika itu tidak ada jentera pembinaan, ia didirikan secara bergotong-royong dengan menggunakan tenaga beratus-ratus orang lelaki. Peralatan seperti beliong, kapak dan pahat digunakan kerana menara ini diperbuat daripada kayu cengal. Sehingga kini, kesan-kesan takikan beliong dan kapak masih jelas kelihatan. Kayu untuk paksi dan dindingnya diambil di Bukit China, iaitu suatu tempat lebih kurang tiga batu dari Pulai Chondong.
Kekukuhan menara ini telah teruji ketika Kelantan dilanda ribut besar pada tahun 1880 Masihi. Walaupun kebanyakan pokok tumbang dan rumah musnah dan rosak kerana bahana ribut namun dengan kuasa Allah menara ini tegak terpelihara. Sehingga kini ia masih teguh dan digunakan lagi sebagai menara azan bagi Masjid Pulai Chondong.
KEMUDAHAN
Kemudahan yang terdapat di masjid ini ialah stor yang dijadikan sebagai tempat menyimpan barang.Tandas,tempat wuduk lelaki dan perempuan juga disediakan di masjid ini.Tempat parking berbumbung turut disediakan di masjid ini hanya untuk motosikal dan kereta.Selain itu,terdapat juga tempat parking terbuka yang dapat memuatkan 10 buah kenderaan dalam satu masa