Masjid Al-Hana ialah salah sebuah masjid terkemuka di Langkawi. Ia telah dirasmikan oleh Perdana Menteri pertama Malaysia, Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj pada tahun 1961 Masihi. Masjid ini pernah diubah suai pada tahun 1993 Masihi dan mampu memuatkan kira-kira 1,200 jemaah pada satu masa.
BINAAN
Reka bentuk masjid ini berkonsepkan seni bina Timur Tengah yang mempunyai menara-menara bersaiz besar dan kecil. Setiap satu menara ini dilengkapi dengan kubah mengikut kesesuaian.
Semua kubahnya berbentuk bawang, namun terdapat dua warna yang membezakan antara kubah yang dibina di bahagian bumbung dengan kubah yang dipasang pada menara, iaitu pilihan warna kuning hitam dan warna biru. Ukiran-ukirannya dikatakan mengikut hiasan kehebatan seni Islam dari Uzbekistan.