Masjid Tok Bandar, Pulai adalah merupakan masjid yang tertua di Mukim Pulai. Mengikut sejarah lisan, Masjid Tok Bandar yang pertama telah dibina sekitar tahun 1700 di Lot 534, Mukim Pulai.
Sejarah asal Masjid Tok Bandar yang pertama mempunyai kaitan rapat dengan Institusi Syahbandar. Pada zaman itu, pusat pentadbiran yang penting dan strategik ialah di Kampung Datuk Bandar yang terletak di tepi Sungai Ketil.
Kemudian, pada tahun 1962 lokasi Masjid Tok Bandar , Pulai telah dipindahkan ke tempat baru iaitu di Lot 6810, Pulai. Masjid ini dikenali dengan Masjid Gertak dikalangan masyarakat kampung. Sekarang dinamakan Masjid Lama Pulai.
Dengan jumlah pertambahan penduduk, Masjid Tok Bandar, Pulai dipindahkan untuk kali ketiga di tapak baharu iaitu di Lot 1043, Pekan Pulai bertempat di Kampung Bukit Tok Kaya, Pulai. Masjid ini sekarang mula digunakan pada 05 September 2003 (Jumaat. 9 Rejab 1424 H).
Kawasan masjid yang berkeluasan 9 relong ini mempunyai kemudahan utama seperti Dewan Solat Utama, Dewan Serbaguna, Dewan Makan, Tandas, Tempat Wuduk, Bazar, Tempat Sembelihan dan Sekolah Tahfiz.