MMY-16-WPJ-00001S Masjid Malaysia
MASJID PUTRA


Kod : MY-16-WPJ-00001
latitud : 2.935900
longitud : 101.689378
Jadual Waktu Solat Hari Ini
Imsak : 5:41 Subuh : 5:51
Syuruk : 7:11 Zohor : 13:23
Asar : 16:45 Maghrib : 19:30
Isyak : 20:44
ZON : Putrajaya

 

AKTIVITI/PROGRAM SEMASA

Kelas Feqah minggu: 1(Ahad) - 9:00pm hingga 9:00pm
Daerah : WILAYAH PERSEKUTUAN PUTRAJAYA
Alamat : MASJID PUTRA, PUTRAJAYA
PUSAT PENTADBIRAN KERAJAAN PERSEKUTUAN 62502, PUTRAJAYA, WILAYAH PERSEKUTUAN
Sejarah :
Masjid Putra didirikan pada 22 Zulkaedah 1419 Hijri bersamaan 9 Mac 1999 Masihi. Ia menjadi mercu tanda Wilayah Persekutuan Putrajaya. Masjid ini dinamakan Masjid Putra sempena Perdana Menteri Malaysia yang pertama, Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj.
Kedudukan masjid ini bersebelahan dengan Dataran Putra dan bertentangan dengan blok Perdana Putra. Dari arah masjid ini, dapat dilihat pemandangan indah Tasik Putra dan kawasan sekitarnya. Sebahagian besar kawasan masjid dikelilingi oleh tasik, menjadikan masjid ini kelihatan terapung-apung di atas air seperti Masjid Tengku Tengah Zaharah di Terengganu dan Masjid Tanjung Bunga di Pulau Pinang. Bezanya kedua-dua masjid ini dibina berhampiran dengan laut, manakala Masjid Putra dikelilingi oleh tasik.
Binaan : Konsep Reka Bentuk Masjid
Konsep reka bentuk Masjid Putra ini berdasarkan kepada seni bina Parsi zaman Kerajaan Safawe. Seni bina dan reka bentuk kubahnya menonjolkan ciri-ciri masjid tradisi yang mudah dilihat di Timur Asia. Ketinggian keseluruhan masjid ini menyamai bangunan 21 tingkat. Ia terdiri daripada empat aras termasuk bumbung yang mempunyai fungsi masing-masing.

Aras Bawah Dua
Dinding dan benteng yang dibina di sekeliling aras ini menampilkan imej pertahanan yang kuat untuk menggambarkan keteguhan. Aras ini menjadi penghubung utama kepada siar kaki, iaitu jalan mengelilingi tasik. Di aras ini terdapat pelantar untuk para pengunjung menghayati udara nyaman dari tasik.

Aras Bawah Satu
Bahagian ini menempatkan pelbagai kemudahan seperti auditorium yang boleh memuatkan seramai 450 orang, dewan makan untuk 400 orang dan sebuah ruang legar untuk pameran. Di sini turut ditempatkan pejabat utama Masjid Putra, tiga buah bilik kuliah, bilik pengurusan jenazah, tempat berwuduk dan bilik air serta rumah kakitangan.

Aras Bawah
Aras ini membawa konsep keterbukaan. Tiang berbentuk payung di aras ini direka supaya dapat memberikan perlindungan orang ramai daripada hujan dan panas serta pengaliran udara semula jadi. Konsep ini juga bertujuan untuk menyambungkan antara saf dalam dan saf luar sekiranya jemaah terlalu ramai pada satu-satu masa.
Dewan solat utama terletak di sini yang boleh memuatkan bilangan jemaah seramai 8,000 orang pada satu masa. Pintu masuknya mempunyai reka bentuk berdasarkan struktur binaan di Isfahan.
Sebuah laman terbuka terbentang luas di antara ruang solat utama dan pintu masuk utama masjid. Laman terbuka ini merupakan tapak kepada menara masjid setinggi 116 meter dan dihiasi dengan kolam-kolam air dan pepohonan. Laman terbuka serta pelantar sekeliling aras ini boleh menampung seramai 5,000 jemaah lagi.

Aras Satu dan Bumbung
Bahagian ini mempunyai lapan buah kubah kecil yang membentuk empat penjuru dewan solat utama. Konsep terbuka jelas kelihatan dengan adanya tingkat-tingkat besar yang dihiasi gaya rekaan yang begitu indah di sekeliling aras tersebut.
Sebanyak enam belas tudung konkrit mengelilingi aras ini. Puncak kubah dihiasi dengan mercu tajam yang mengarah ke langit. Dewan solat wanita berada di aras satu yang boleh menampung seramai 2,000 jemaah. Keempat-empat aras ini dihubungkan oleh rangkaian tangga yang bermula dari tempat wuduk utama serta dua buah lif di kiri dan kanan pintu dewan solat utama.

Kubah Masjid
Kubah Masjid Putra ini berwarna merah jambu dan reka bentuknya berasaskan arabesque iaitu ukiran berkonsepkan tumbuhan seperti yang terdapat pada kubah-kubah masjid di Mesir. Ukiran dan hiasan dalaman kubah dan masjid ini pada keseluruhannya diilhamkan berdasarkan seni ukir tempatan.
Selain daripada kubah yang menjadi tarikan pada Masjid Putra ini, bahan daripada kayu cengal yang menjadi pilihan untuk pintu, jerejak dan pemidang pada masjid ini telah berjaya menghidupkan seni ukir Melayu berteraskan ajaran Islam yang menonjolkan semangat persaudaraan dan keharmonian sesama insan.
Kemudahan : AUDITORIUM
Masjid Putra dilengkapi dengan sebuah Auditorium yang boleh memuatkan sehingga 380 orang. Ia digunakan untuk program/aktiviti anjuran Masjid Putra sendiri mahupun agensi luar sepanjang tahun. Ia turut digunakan sebagai tempat penyampaian taklimat/maklumat berkaitan Masjid Putra kepada tetamu Masjid yang membuat permohonan lawatan secara rasmi. Ia dibuka untuk sewaan dengan kadar harga RM170.00 sejam atau RM1,200.00 sehari (8 jam) dengan disertakan kemudahan penghawa dingin dan peralatan P.A. System.

BILIK KULIAH
Masjid Putra dilengkapi dengan dua buah Bilik Kuliah yang boleh memuatkan sehingga 70-80 orang dalam satu-satu masa bagi setiap bilik. Ia digunakan untuk program-program pengajian Masjid Putra sepanjang tahun yang berjalan sama ada pada waktu siang ataupun malam setiap hari termasuk hujung minggu. Selain itu, ia turut digunakan untuk aktiviti perbincangan secara rasmi ataupun tidak rasmi terutamanya jika melibatkan penggunaan LCD kerana Bilik Kuliah tersebut dilengkapi dengan kemudahan LCD dan P.A. System. Ia dibuka untuk sewaan dengan kadar harga RM35.00 sejam atau RM240.00 sehari (8 jam) dengan disertakan kemudahan penghawa dingin, peralatan P.A. System dan kerusi meja.

DEWAN MAKAN
Masjid Putra dilengkapi dengan sebuah Dewan Makan yang boleh memuatkan sehingga 230 orang. Ia digunakan untuk jamuan makan bagi program/aktiviti anjuran Masjid Putra sendiri mahupun agensi luar sepanjang tahun.

DEWAN SOLAT UTAMA
Dewan Solat Utama Masjid Putra mempunyai ciri-ciri reka bentuk yang ringkas dan menarik. Ia amat luas dan tidak mempunyai dinding dalaman, sebaliknya ia mempunyai 12 tiang seri. Dewan Solat Utama yang berada di Aras G boleh memuatkan sehingga 8,000 jemaah lelaki manakala di Aras 1 pula boleh memuatkan sehingga 2,000 jemaah wanita dalam satu-satu masa. Selain digunakan untuk aktiviti solat berjemaah lima waktu, Dewan Solat Utama (Aras G) juga turut digunakan untuk aktiviti-aktiviti lain anjuran Masjid Putra mahupun agensi luar seperti Solat Sunat Hajat, Majlis Bacaan Yasin, Tahlil dan Doa Selamat, Tazkirah/kuliah agama, majlis pernikahan dan sebagainya yang bersesuaian dengan konsep masjid sebagaisebuah tempat ibadah

PERPUSTAKAAN
Perpustakaan Masjid Putra sehingga kini mempunyai sejumlah 10,193 naskhah buku yang sesuai untuk setiap peringkat umur daripada kanak-kanak pra-sekolah, pelajar sekolah rendah dan menengah, belia/pelajar universiti/kolej, pegawai dan kakitangan kerajaan hinggalah kejemaah Masjid Putra sendiri.

Setakat ini ia hanya menawarkan perkhidmatan bacaan dan rujukan kepada umum manakala pinjaman hanya dibuka kepada kakitangan Masjid Putra sahaja. Pinjaman hanya akan dibuka kepada umum setelah sistem perpustakaan yang bersesuaian dan berkesan diperolehi.
Istimewa : Masjid Putra dinamakan sempena Perdana Menteri Malaysia yang pertama, Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra Al Haj merupakan salah satu mercu tanda utama di Putrajaya. Kedudukannya adalah bersebelahan dengan Dataran Perdana dan berhadapan dengan Tasik Putrajaya.

Konsep rekabentuk Masjid Putra berdasarkan senibina Parsi zaman kerajaan Safawe. Senibina tradisional digunakan bagi mengharmonikan peruabahn bentuk segiempat (dewan solat) kepada bentuk bulat (kubah) dengan memperkenalkan segi lapan (oktagon) sebagai bentuk perantaraan. Keseluruhannya ketinggian Masjid Putra ini menyamai bangunan 21 tingkat.

Kubah MAsjid Putra berwarna merah jambu. rekabentuknya berasaskan Arabesque iaitu ukiran tumbuhan seperti mana yang diukir pada kubah-kubah masjid di Mesir.Ukiran dan hiasan dalaman kubah dan masjid keseluruhannya diilhamkan dari seni ukir tradisional orang melayu. Kayu cengal dan seraya hitam tempatan digunakan untuk menghidupkan seni ukir di dalam masjid.
Lokasi : Kedudukannya adalah bersebelahan dengan Dataran Perdana dan berhadapan dengan Tasik Putrajaya serta berdekatan dengan Pejabat Perdana Menteri (PMO).

Keluasan masjid ini seluas 1.37 hektar. Kawasan masjid bermula masuknya di Pintu Utama sehinggalah ke dalam kawasan masjid. Manakala Dataran Putra dan Souq tidak berada dalam lingkungan kawasan masjid.


Masjid Putra,
Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM),
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62502 Putrajaya,
Wilayah Persekutuan Putrajaya.

Koordinat Kami Untuk Navigasi GPS dan Arah Melalui Google Maps:
(2.936055, 101.689578)


Rasmi :
Kapasiti :  
Keluasan : 147.00
MAP :


Statistik